Sains Islam

Wednesday, 23 March 2016

Pendahuluan

بسم الله الرحمن الرحيم

Secara ringkasnya kejuruteraan genetik dapat diertikan dengan pengubahsuaian genetik sesuatu organisma.Seperti yang kita tahu semua kehidupan terdiri dari unsur yang asas iaitu DNA. Tidak kira haiwan atau tumbuhan, semuanya mempunyai DNA, bahkan virus juga mempuyai RNA atau DNA. Didalam DNA inilah tersimpannya maklumat-maklumat yang diperlukan bagi sesuatu sel itu untuk berfungsi seperti biasa.
Teknologi ini masih baru lagi dan banyak lagi yang perlu diteroka, terutamanya kepentingannya dari segi perubatan, industri dan pertanian. Kita tidak pasti, sejauh manakah teknologi ini berkembang pada masa akan datang. Semoga ianya digunakan untuk tujuan kemaslahatan dan bukannya menjadi senjata pemusnah manusia itu sendiri .

Dengan kemajuan sains dan teknologi di bidang genetik ini juga, manusia mampu untuk menjalankan eksperimen-eksperimen yang mencampurkan benih dari spesis binatang dengan binatang yang lain, dengan tujuan untuk menghasilkan spesis yang lebih baik. Contohnya, seperti penghasilan jenis lembu, kambing dan anjing yang lebih baik dari segi penghasilan susu, daging, kulit dan juga kecantikan.

Di samping itu, kejayaan di bidang genetik ini telah menggemparkan dunia, dengan berbagai-bagai jenis makhluk baru yang beraneka bentuk dan rupa, hasil daripada campuran benih yang telah dilakukan oleh manusia.

Persoalannya sekarang, apakah pandangan Islam terhadap perkara-perkara yang sebegini. Firman Allah s.w.t di dalam surah An Nisa' ayat yang ke 119, yang bermaksud: 

"Dan aku (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka memotong telinga-telinga binatang ternak (iaitu untuk dipersembahkan kepada berhala), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka merubah ciptaan Allah, lalu mereka benar-benar merubahnya."

Daripada ayat di atas jelas kepada kita bahawa secara umumnya, merubah ciptaan Allah adalah merupakan sebahagian daripada amalan syaitan yang akan membawa bala bencana kepada manusia. Setiap ciptaan Allah yang berada di alam ini adalah berada di dalam keadaan yang cukup sempurna dan seimbang serta mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada manusia.

Begitulah juga halnya, dengan usaha-usaha yang dijalankan untuk menghasilkan spesis-spesis binatang baru dengan mencampur-adukan berbagai-bagai jenis benih binatang hanya semata-mata untuk tujuan mengukir nama di bidang sains, tetapi sebaliknya memudharatkan dan menganiaya binatang, juga dilarang di dalam Islam.

Sungguhpun begitu, larangan ini adalah tidak mutlak. Islam tetap lagi memberi ruang kepada sains untuk menerokai bidang genetik ini, tetapi ianya hendaklah sesuai dengan prinsip kemanusiaan dan tidak mendatangkan mudharat ataupun bahaya kepada manusia dan juga alam sekitar.

Umpamanya, kemajuan sains dan teknologi dalam menghasilkan bayi tabung uji boleh digunakan kepada pasangan yang tidak mempunyai anak. Di mana benih daripada suami boleh disenyawakan dengan benih isteri dan kemudian dibesarkan di dalam kandungan isteri itu sendiri. Oleh itu tidak timbul masalah mengambil benih daripada orang lain atau mengambil upah mengandungkan anak orang lain, yang mana akibatnya mendatangkan porak-peranda di dalam masyarakat.

Begitu juga dengan kaedah kacukan binatang ataupun tumbuh-tumbuhan yang boleh menghasilkan baka yang lebih baik dan mendatangkan manfaat kepada manusia, ianya adalah dibolehkan. Ini adalah sesuai dengan sebuah hadis yang menceritakan ada seorang sahabat yang datang bertanya dengan Rasullullah s.a.w tentang kacukan pohon tamar yang telah dilakukannya. Maka Rasullullah menjawab, "Engkau lebih mengetahui tentang itu." Ini menjelaskan kepada kita bahawa kacukan yang membawa faedah kepada manusia dan tidak memudharatkan kehidupan adalah dibolehkan.

Sekiranya kemajuan sains dan teknologi di bidang genetik ini tidak dibataskan, maka bayangkanlah kerosakan yang akan dibawanya. Akan timbul masalah-masalah masyarakat, seperti anak yang mempunyai dua ibubapa, wanita-wanita yang kerjanya hanyalah mengambil upah untuk mengandungkan anak untuk orang lain, ataupun akan wujud pula binatang yang mempunyai perasaan dan tabiat seperti manusia ataupun sebaliknya, dan berbagai-bagai masalah lagi.

Oleh hal yang demikian, penekanan yang diberi oleh Islam dalam menangani isu etika berkenaan dengan kemajuan sains dan teknologi di bidang genetik adalah menjurus kepada menjaga keharmonian hidup masyarakat, dengan mengambil kira faktor kemanusiaan, perasaan, fitrah semulajadi dan menjaga keseimbangan alam sekitar.

Sumber: http://teknologigenetik.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment